Perkembangan, penerbitan & pendidikan bahasa Melayu Hubungan_bahasa_Jepun_dengan_bahasa_Melayu

Bahagian ini memerlukan petikan dan rujukan tambahan untuk pengesahan. Sila bantu memperbaiki bahagian ini dengan menambahkan petikan ke sumber-sumber yang boleh dipercayai. Bahan yang tidak disahkan mungkin akan dipertikai dan dipadam.
Cari sumber: "Hubungan bahasa Jepun dengan bahasa Melayu" – berita · akhbar · buku · sarjana · JSTOR (Januari 2015) (Ketahui bagaimana dan bila untuk membuang pesanan templat ini)

Atas sebab kepentingan bahasa Melayu di Asia Tenggara, telah mulalah penerbitan kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaannya, telah disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama juga melaporkan oleh kerana ketiadaan guru Jepun yang boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah-sekolah Jepun maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka dikatakan menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik), salah seorang guru pengajar, telah menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.

Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang diterbitkan pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak sehingga 30 kali.

Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.

Antara rekod pengajian di dalam kelas yang pernah dilaporkan adalah pada hari pertama, ke-2, ke-24, 27 & 28. Pelajaran bagi dua hari pertama berkisar mengenai bunyi sesuatu perkataan dan kelainan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda. Manakala pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula. Hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita daripada Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Sepanjang kehidupan Marquis Tokugawa di Tanah Melayu dan Pulau Jawa, beliau dikatakan gemar memburu beruang dan harimau sehinggakan beliau dikatakan berbangga atas hasil buruannya itu dengan berucap dalam bahasa Melayu yang berbunyi: "Untung sekali, sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya; dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

Sepanjang Marquis Tokugawa di Tanah Melayu, beliau telah menjalinkan hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Negeri Johor Darul Takzim yakni setelah mereka pertama-kali pergi memburu bersama-sama. Dalam hubungan pena kedua dan selanjutnya, surat menyurat antara mereka telah ditulis dalam tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda Sultan telah menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian daripada Baginda kepada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis dalam tulisan rumi.Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu ketika mana setelah tentera Inggeris dan Belanda tewas di tangan tentera Jepun, bahasa Jepun (Nippon-go) telah diajar di sekolah-sekolah yang dahulunya mengajar bahasa Inggeris.